Suatu ketika, ada seorang
pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang
keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat
adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki
ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.
Pedagang itu juga mencintai
isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering
berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun
dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang
lain.
Begitu juga dengan isterinya
yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar
dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah,
dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. dialah tempat
bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang
sulit.
Sama halnya dengan isterinya
yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa
kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. dialah yang merawat dan mengatur semua
kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedangang tidak begitu
mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun,
pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.
Suatu ketika, si pedagang
sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama
lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati,
“Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan
sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri.”
Lalu dia meminta semua
isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, “Kaulah
yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah
sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?” Isteri
keempatnya terdiam. “Tentu saja tidak!” jawab isterinya yang keempat, dan pergi
begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi. Jawapan itu sangat menyakitkan hati
seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya.
Pedagang yang sedih itu lalu
bertanya kepada isteri ketiganya, “Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat
ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir
hayatku?”. Isteri ketiganya menjawab, “Hidup begitu indah di sini. Aku akan
menikah lagi jika kau mati”. Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri
ketiganya itu.
Lalu, dia bertanya kepada
isteri keduanya, “Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan
kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku
mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku? ” Si isteri kedua menjawab perlahan,
“Maafkan aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke
liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu.”
Jawapan itu seperti kilat yang
menyambar. Si pedagang kini berasa putus asa.
Tiba-tiba terdengar satu suara,
“Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan
meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu.” Si pedagang lalu menoleh ke arah
suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu. Isteri
pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa
menyesal, si pedagang lalu berguman, “Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik
pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.”
Teman, sesungguhnya kita punya
empat orang isteri dalam hidup ini;
ISTERI
KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang
kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan
hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan
kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.
ISTERI
KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita
meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan
melupakan kita yang pernah memilikinya.
ISTERI
KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat
hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya.
Hanya sampai kuburlah mereka akan menemani kita.
DAN
SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal
kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan
kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang
mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal
yang mampu menolong kita diakhirat kelak.
Jadi, selagi mampu,
perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak. Jangan sampai kita menyesal
kemudian hari!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan